Kubuka jendela pagi dan dosa pun menghampiri
Suara jerit hati kuingkari
Nafsu jiwa yang membuncah
Menutupi mata hati
Seperti terlupa bahwa nafaskan terhenti
Suara jerit hati kuingkari
Nafsu jiwa yang membuncah
Menutupi mata hati
Seperti terlupa bahwa nafaskan terhenti
Selalu sahaja kita dianjurkan untuk beristighfar jika melakukan sesuatu
kesalahan. Cukuplah sekadar lafaz Astaghfirullah, dan kemudian kita
melalui kehidupan seperti biasa. Itulah hakikatnya makna yang tersirat
istighfar bagi orang-orang yang lalai. Hanya sekadar lafaz tanpa
mendalami makna Istighfar tersebut. Ma maqna Istighfar? Yakni memohon
keampunan daripada Allah Azza Wajalla dan ia dilakukan bagi pembersihan
dari segala dosa dan kesalahan. Sesungguhnya, keampunan itu adalah untuk
memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang dilakukan.
Menurut segolongan ulama, “Setiap doa yang memohon keampunan Allah, maka ia adalah istighfar”
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Tahukah kita akan keajaiban disebalik istighfar itu?
“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan
menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat
Al-Imam Abi Daud)
Hadis di atas jelas nyata menunjukkan tuhan
memberi rahmat kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain dari
beristighfar dari melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling cukup
bermakna, untuk mengingatkan kita agar tidak terjebak dari melakukan
dosa. Sedangkan Nabi juga sentiasa beristighfar seperti dalam hadis ini
:
Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan
Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca
sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan
terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha
Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan
oleh Imam Turmidzi)
Nabi yang maksum yang terpelihara dari
segala dosa pun sentiasa melafazkan taubat, sedangkan kita yang sukar
dari melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan
istighfar. Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima adalah
hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa
sulit tersebut.
Terdapat dua jenis musibah, yakni musibah yang
menguji benteng keimanan kita, atau musibah untuk memberi balasan atas
dosa-dosa yang kita lakukan. Jika menguji benteng keimanan kita, itu
bermakna tuhan sayang kita, dan kepadaNya kita berserah, memohon
keredhaan. Kerana kita akan sentiasa di uji, tidak kira masa, seperti
mana firman Allah :
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak
diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui yang manakah orang yang benar
dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah orang yang dusta.”(Surah
al-Ankabut: 2-3)
Tetapi bagi Musibah azab, inilah yang paling
dahsyat, jika kita belum sempat bertaubat, maka yang menanti kita di
alam lain hanyalah seksaan dariNya. Tetapi bagi mereka yang sentiasa
beristighfar, Allah sama sekali tidak memberi musibah berbentuk azab,
seperti mana firmanNya:
“Dan Allah tidak sesekali mengazab
mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah
akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat
33).
Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.
“Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan
kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu,
mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat,
ayat 10-12).
“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji
atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun
atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain
Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka
mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang
mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang
yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136).
“Dan hendaklah
kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia
akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.”
(Surah Hud, ayat 3)
Demikian telah jelas dan nyata, bahawa dengan
bertaubat, insyaAllah akan dikurniakan rahmat dariNya. Kita lihat
kembali hadis sebelum ini :
“Daripada Ibni Abbas Radiallahu
Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang
selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi
setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki
tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud).
InsyaAllah,
makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya.
Untuk merungkaikan kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah
mengenai Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang
cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.
Suatu
ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka
tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut
malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah
masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut
melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya
kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar
masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak
tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu
melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid
tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam
Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam
Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja
dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam
Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti
yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu
sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar
sepanjang malam.
Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat
roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat
ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum
lagi”.
Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal”
Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin
Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju
kepadamu.”
Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan
doa si pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat
Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah
memakbulkan doa si pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan Istighfar
begitu besar buat kita, dan ikhlaskan hati kita untuk beristighfar
kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar