Lazimnya, orang yang terlalu banyak berbicara (berkata-kata) adalah
orang yang lemah keperibadiannya. Ciri-ciri orang cerdik menurut Islam
yang disebutkan al Quran adalah orang yang mendengarkan perkataan orang
lain dan melaksanakan apa yang terbaik daripada perkataan itu
(al-Zumar:18):
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Orang pandai yang suka mengambil perhatian yakni mendengar dengan baik
apa yang dikatakan oleh orang lain akan disukai. Sebahagian manusia
lebih gemar untuk perkataannya didengar, diambil peduli daripada dia
mendengar bicara orang lain. Ada orang yang mempunyai kebiasaan
berbicara dahulu, baru berfikir. Kerana itu, diam menunjukkan kekuatan
keperibadian seseorang. Kemampuan mendengar adalah kekuatan keperibadian
yang luar biasa besarnya. Kata Jaafar al-Sadiq ra:
لِسَانُ الْعَاقِلِ وَرَاءَ قَلْبِهِ، وَقَلْبُ الْأَحْمَقِ وَرَاءَ لِسَانِهِ
“Lisan orang yang berakal itu ada di belakang hatinya, dan hati orang bodoh itu ada di belakang lisannya.”
Orang yang berakal selalu mempertimbangkan terlebih dahulu apa yang akan
dilontarkan dalam bicaranya, sedang orang yang bodoh sering
memperkatakan apa sahaja yang terlintas di dalam hatinya tanpa
memikirkan akibat yang mungkin timbul daripada ucapannya itu. Sebaiknya
kita harus benar-benar yakin bahawa apa yang akan disampaikan adalah
sesuatu yang sudah difikirkan. Kurangilah perkataan-perkataan yang
muncul secara refleks. Biasakanlah diam atau merenung, maka kita akan
menjadi produktif dalam hidup. Diam bukan dalam erti kita sama sekali
tidak berbicara, melainkan diam dalam erti hanya berbicara jika ada
keperluan untuk itu. Ada mekanisme lain juga yang telah ditunjukkan di
dalam al Quran :
وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْنًا
“Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (al-Baqarah:83)
فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُواْ لَهُمْ قَوْلاً مَّعْرُوفًا
“Berilah mereka dari harta itu (kepada anak-anak yatim) dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (al-Nisa':8)
فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُواْ قَوْلاً سَدِيدًا
“Oleh itu hendaklah bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (al-Nisa':9)
أُوْلَئِكَ
الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ
وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِي أَنفُسِهِمْ قَوْلاً بَلِيغًا
“Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui
apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah dari mereka, dan
berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang
membekas dalam jiwanya.” (al-Nisa':63)
وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا
“Dan katakanlah kepada mereka (kedua ibu bapa) perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Israk:23)
فَقُل لَّهُمْ قَوْلاً مَّيْسُورًا
“Maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.” (al-Israk:28)
وَقُل
لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ
يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلإِنْسَـٰنِ عَدُوًّا
مُّبِينًا
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku; Hendaklah mereka mengucapkan
perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan
perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh
yang nyata bagi manusia.” (al-Israk:53)
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah
suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah
suara keldai.” (Luqman:19)
Al-Quran menunjukkan kepada kita tentang pilihan dalam berbicara, qaulan
makrufan, qaulan kariman, qaulan maysuran, qaulan sadidan dan qaulan
balighan, yakni pembicaraan yang disertakan perkataan-perkataan yang
baik, tepat dan membekas dalam jiwa. Justeru, mekanisme mana lagi yang
lebih baik dibandingkan dengan anjuran menguruskan sebarang perbicaraan
sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar